Thursday, July 30, 2009

..bila sifat malu "tidak berfungsi"..

Biasa kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga. Kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita. Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan-jalan raya, di pasar raya, di perhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.

Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Sememangnya wanita lain daripada lelaki, terdapat banyak kelainannya.

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)

Wanita, apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki, kalau dia berbuat baik, dikagumi, apabila berbuat jahat diminati, apabila dia memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) dilihat menggoda, dan macam-macam lagi yang menarikperhatian.

Oleh sebab itu Allah S.W.T. mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.

Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu ? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu."

Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca akal pun sudah mengakui sebagai suatu sifat yang perlu ada pada diri manusia.

Barangkali wanita hari ini kebanyakkannya tidak malu atau kurang malu sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat.

Atau barangkali jika sifat malu yang dikurniakan Allah itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Kalau demikian, bererti tiada iman di dada mereka.

Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka. Ini tandanya mereka tiada iman.

Apabila tidak beriman, maka sifat malu yang sedia ada itu secara automatik akan hilang. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat di mana-mana. Melalui media cetak seperti majalah Hai, Mangga, URTV dan sebagainya, media elektronik seperti rancangan-rancangan hiburan dan bahkan di hadapan mata kita sendiri berbagai ragam dan kemungkaran berlaku, tidak berkecuali dilakukan oleh wanita.

Sayang, wanita yang sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.

Tapi percayalah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yang menimpa kaum wanita.

Monday, July 27, 2009

sejarah "cemburu pertama"

Cemburu pertama dalam sejarah manusia cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka. Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan dua orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.

Petua-petua mengatasi sifat cemburu:

1) Daripada dua kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil ini.

2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada dua jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:
"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia".

3) Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan. Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi? Imam Maulud, seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain; holier than thou. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, disamping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.

Friday, July 24, 2009

kerana..

Al-Quran al-karim..


Hadith :
Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus." Ali r.a

..cantikya s'orang wanita..



Cantiknya seorang muslimah..
Awalnya aku tidak percaya diri
Dengan pakaian yang tertutup rapi
Kawan-kawan berkata aku tidak trendy
Tapi abi berkata aku cantik begitu pun umi
Wahai kawan yang bermimpi sanjungan,
Cantik bukan bererti buka bukaan
Cantik bukan bereti selalu berdandan
Cantik juga bukan bererti seorang pujaan
Ku ulurkan jilbabku hingga terasa damai hatiku
Ku longgarkan pakaianku hingga tertutup bentuk tubuhku
Ku lakukan semuanya itu demi cintaku pada Rabbi-ku
Dan ku berbisik pada hatiku,semoga engkau berbahagia melihatku
Andai semua orang memahami,
Cantik lahir bukanlah daripada ukuran
Tapi cantik adalah daripada hati yang ikhlas
Dan yang utama berbudi pekerti
Persis yang Rasulullah contohkan..

saidatina khadijah..


ISTERI Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid ialah wanita pertama beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan mengukuhkan tekad, Nabi Muhammad dalam melaksanakan risalah dakwah Islamiah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan suaminya dalam berdakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan di belakang Rasulullah. Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya:
“ Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan… daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.Hal ini menunjukkan beliau adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasulullah sepanjang kehidupan mereka.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah, Siti Khadijah setia menyertai Baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan Baginda.
Sekiranya Baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga Rasulullah pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah, Siti Khadijah pasti bersama dan membantu Baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Siti Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya jelas berlandaskan keyakinan kuat terhadap keesaan Allah. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.
Firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Siti Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah, malah membawa barakah besar kepada rumah tangga mereka.Anak yang lahir juga adalah soleh. Keturunan zuriat ahlulbait Rasulullah adalah insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah.Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.